Isnin, 27 Julai 2015

MEMANCING: LAGI...DI RUMAH RAKIT JAI, TELOK GONG



Hah...mungkin kata-kata di atas yang terucap oleh President dan Chief Angler semalam, Baru jer masuk 10 Syawal, mereka dah tak sabar untuk menurunkan joran ke air. Pagi semalam, mereka bersama Nyok telah ke rumah rakit Jai, Telok Gong untuk memenuhi gian mengail ikan.

Semalam, air pun cantik dan hasil tangkapan juga lumayan. Banyak ikan Gerut-Gerut yang dapat dinaikkan. Ikan-ikan lain yang dapat dipancing ialah Duri dan Gelama, memang kawasan ini bagaikan lubuk untuk ikan-ikan ini.

Aha..nampak ceria Ajak dan Nyok
Bawah, Razi tersenyum lebar menaikkan Gerut-Gerut
u

Rabu, 22 Julai 2015

MEMANCING: INSPIRASI


Apakah rakan-rakan kaki pancing terinspirasi melihat semangat lelaki ini? Walaupun fisikal dan khudrat membataskan pergerakan beliau, namun kekentalan semangat bagi memenuhi minatnya merentasi kekurangan itu. PERANGSANG ANGLERS respek ler!!!

Berikut kami salinkan kembali nukilan empunya photo ini dalam bahasa asalnya:
'I was inspired by this man determination to do what he loves, despite the obvious restrictions his body has tried to place on his love for fishing and the outdoors. I only hope l can be like him both now and later in life and enjoy what makes me happy, even if its not easy. See no matter what your body is telling you, your mind, heart and soul is telling you different'

Isnin, 13 Julai 2015

MEMANCING: CARA MENCANGKOK UMPAN

Terlebih dahulu mohon izin empunya lakaran dan gambar-gambar di bawah untuk kami menyalinkannya pula ke laman ini.

Ia adalah maklumat yang sangat berguna kepada warga PERANGSANG ANGLERS dan rakan pancing yang lain untuk dimanfaatkan. Mari kita lihat cara-cara menyedia dan mencangkok umpan yang betul seperti yang mereka sajikan:











Sabtu, 11 Julai 2015

MEMANCING: IFTAR RAMADAN 2015




Jumaat 10 Julai 2015,

Semalam, ahli-ahli PERANGSANG ANGLERS kembali berkumpul, tetapi bukanlah di medan memancing cuma di Majlis Iftar Ramadan 2015 yang diadakan di Kelab Shah Alam. Selangor

Majlis ini menunjukkan akrabnya persahabatan dikalangan para ahli dan untuk mengukuhkan lagi kesatuan kami. Disamping itu dapatlah bertanya khabar tentang perkembangan diri masing-masing dan keluaraga.

Apabila berkumpul tu, topik perbualan tentulah berkaitan dengan memancing dan perancangan aktiviti selepas raya puasa ni. Pada bulan Ogos depan telah ditetapkan untuk ekspedisi memancing di Pulau Sembilan, Perak. Manakala pada bulan Oktober kelak di Permatang Sedepa, Selangor.

Iftar kali ni, berjalan dalam suasana kekeluargaan yang mesra. Semoga jalinan kasih kami ini sentiasa dirahmati dan diberkati Allah.

Jumaat, 10 Julai 2015

MEMANCING: SIMPULAN DAN TALI PERAMBUT

Assalam para sahabat dan pembaca, sambil kita beristirehat menunggu waktu berbuka puasa, mari kita imbas kembali jenis-jenis simpulan dan tali perambut (knots) untuk menyegarkan kembali pengetahuan kita kepada teknik membuatnya. Ajarkan pula kepada anak-anak kita 'para junior anglers' cara-cara membuatnya dengan betul, berguna kepada mereka tau!












Jumaat, 19 Jun 2015

MEMANCING: APAKAH IKAN MERASA SAKIT?


Telah menjadi perdebatan sejak sekian lama, apakah ikan akan merasa sakit apabila terkena pancing. Kita mungkin terfikir betapa sakitnya ikan itu menggelupur untuk melepaskan diri. Persoalan itu turut diperbualkan dikalangan ahli keluarga PERANGSANG ANGLERS.

Kajian berikut tentunya dapat melegakan para pemancing dan pencinta ikan:
  • Satu penemuan yang diperolehi oleh Prof. James Rose dari University of Wyoming USA bersama 7 orang lagi pengkaji, telah menyimpulkan bahawa ikan tidak memiliki 'receptor' rasa sakit dalam otaknya seperti yang dimiliki oleh manusia. Reaksi ikan menggelupur dan nampak seperti kesakitan, hanyalah reaksi bawah sedar (unconscious nociception) ikan tersebut.
  • 'Ikan tidak merasa sakit' begitulah juga kesimpulan hasil kajian oleh sepasukan pengakaji antarabangsa yang terdiri daripada ahli-ahli neurobiologists, behavioural ecologists and fishery scientist yang diketua oleh Prof. Dr. Robert Arlinghaus daripada Leibniz Institute of Freshwater Ecology and Inland Fisheries anf of the Huboldt University of Berlin Germany.
  • Satu lagi kajian oleh pihak University of Edinburgh, UK ke atas ikan Trout mendapati hanya sedikit serat C ( C-Fibre is a type of nociceptors responsible for pain) terdapat pada ikan tersebut untuk merasa sakit.

Namun begitu, kami di PERANGSANG ANGLERS sering menekankan kepada para ahli kami supaya mempunyai etika dan disiplin sewaktu memancing, iatu tidak berlaku kejam atau menyeksa ikan. Tangkapan kecil atau yang tidak diperlukan dilepaskan kembali. Kami hanya membawa pulang ikan yang dikehendaki sahaja dan mencukupi untuk hidangan keluarga.

Selasa, 16 Jun 2015

MEMANCING DI PERAIRAN PULAU CHE MAT ZAIN DAN PULAU SELAT KERING, SELANGOR

Yan (atas) Man (kiri) dan Nyok (kanan)
Pada 13 dan 14 Jun 2015 yang lalu, sekumpulan 8 orang ahli-ahli PERANGSANG ANGLERS telah turun ke perairan diantara Pulau Che Mat Zain dan Pulau Selat Kering bagi menduga ikan-ikan di kawasan tersebut dengan berbekalkan umpan Sotong Kurita, Anak Bawal dan Parang, Udang serta Pumpun.

Bekalan makanan pula berupa pizza, chicken wings, currypuff dan lain-lain refreshments segar yang ditaja oleh En. Ahmad Shah.

Cabaran yang diberikan kepada mereka ialah untuk menaikkan Jenahak dengan tawaran hadiah RM50 bagi setiap ekor yang berjaya dipancing. Hadiah adalah sumbangan daripada En. Fauzi CSR. Cabaran mereka bermula pada jam 8 malam sehingga jam 11 pagi pada keesokan harinya.

Akhirnya, Sdr. Yan telah dinobatkan sebagai penerima tunggal jackpot Jenahak tersebut. Antara lain-lain ikan yang berjaya dinaikkan pada ekspedisi kali ini ialah Senangin, Kerapu, Gelama, Duri dan Sembilang.

Ekspedisi kali ini merupakan acara penutup bagi aktiviti pancing PERANGSANG ANGLERS bersempena dengan bulan Ramadan yang akan tiba beberapa hari lagi. Aktiviti kami akan disambung semula selepas bulan raya ni dan direncanakan ke Pulau Pangkor pula.


Isnin, 15 Jun 2015

MEMANCING DALAM BULAN RAMADAN


Selamat menyambut bulan Ramadan 1436H kepada rakan dan pengunjung laman PERANGSANG ANGLERS.

Bila datangnya Ramadan, tentunya kita dapat melihat ramai yang terfikir untuk menghentikan sementara aktiviti memancing dan memperbanyakkan lagi ibadah serta kewajiban lain. Kita tentunya juga dapat melihat masih ramai pemancing yang memancing baik di sungai, laut, sawah mahupun di kolam pancing dalam bulan ini.

Apatidaknya, para nelayan yang sememangnya akan terus menjalankan mata pencarian mereka untuk menafkahi keluarga, para enthusiast tidak akan surut dari memenuhi hobi dan minat mereka. Begitu juga dengan golongan yang ingin mengisi kekosongan jadual mereka dengan memancing sambil menunggu waktu berbuka puasa.
Gambar Hiasan
'Banyak lagi hari untuk kita memancing, pada bulan Ramadan ini eloklah aktiviti itu dihentikan sementara waktu' kata seorang rakan semasa kami minum di sebuah warong kopi di Ijok 'Jangan pernah berfikir untuk menghentikan aktiviti ini' jampok seorang lagi rakan.

Jika anda berhasrat untuk terus melakukan aktiviti memancing dalam bulan Ramadan ini, mungkin panduan ini bermanfaat untuk anda:
  • Aktiviti memancing harus disesuaikan jadual dan masanya agar puasa anda tetap terjaga. Ia penting kerana maklum sajalah perut kosong, tekak kering dan tahap energi pun terbatas.
  • Kurangkan masa memancing ke waktu yang pendek. Misalnya, jika biasanya anda memancing 12 jam sehari, anda boleh kurangkan kepada 4 jam sahaja.
  • Pilih tempat yang rileks dalam suasana ringan seperti memancing di kolam pancing, anak sungai atau di rumah rakit, kerana tempat-tempat ini mempunyai tempat berteduh dan beristirehat. Anda boleh memancing untuk selama 2-3 jam sambil menunggu beduk berbuka puasa.
  • Jangan paksa diri dan bersikap jujurlah kepada diri anda sendiri.
Kesimpulannya, jika anda berhasrat untuk memenuhi hobi memancing di bulan puasa ni, perhatikan waktu yang sesuai, jangan lupa kewajiban kepada keluarga, lebih-lebih lagi kewajian beribadah. Rebutlah peluang rahmat dan keberkatan Ramadan. Insyallah.

Sabtu, 13 Jun 2015

MEMANCING DI WAKTU MALAM: APA YANG MENARIKNYA?


'Memancing malam ni lebih menenangkan' kata seorang teman PERANGSANG ANGLERS 'malah lebih menjanjikan hasil' sambungnya. Terinspirasi dengan kata-kata itulah maka beberapa ahli kami menjadikan memancing malam sebagai satu daripada aktiviti PERANGSANG ANGLERS.

Memancing diwaktu malam mendamaikan, kerana selain suasananya yang tenang dan sunyi, kita terlindung dari rasa panas dan terik matahari. Cuma ia memerlukan penumpuan yang lebih, keberanian dan persediaan mental, maklum sajalah suasana malam yang gelap. Disamping memerlukan peralatan tambahan yang sesuai seperti 'bugs spray, glow sticks, LED headlamp dan jacket'


Pada kali ini, kami ingin berkongsi pengalaman kami memancing malam di kuala selat. Sebenarnya, memancing di kawasan ini tidaklah terikat dengan waktu, kerana spesies ikan yang banyak dan pola makan yang berbeza. Ada yang mencari makan di siang hari dan ada pula yang aktif mencari makan di malam hari. 

Ikan yang aktif mencari makan di malam hari dipanggil sebagai 'nocturnal' iaitu ikan-ikan dari jenis snappers dan groupers 'seperti Ikan Kakap Merah, Jenahak, Timun, Kerapu, Kurau dan GT.

Manakala, umpan yang paling baik digunakan ialah umpan yang berbau hamis dan bercahaya seperti Ikan Tamban, Selangat, Cumi-Cumi dan Udang. Sebagai contoh, cumi-cumi memiliki bau hamis dan sedikit bercahaya kehijauan bila berada di dalam air dan udang hanya bahagian matanya sahaja yang bercahaya.

Sebenarnya, ikan dapat melihat di malam hari atau di dalam kegelapan. Penggunaan umpan bercahaya bukan bertujuan agar umpan dapat di lihat pada malam hari, tetapi melainkan sebagai penarik perhatian ikan terhadap umpan bila kedudukan ikan yang jauh daripada kedudukan umpan.

Kami sekadar berkongsi serba sedikit pengalaman, mungkin berguna kepada pembaca.
Ajak dan Nyok menaikkan Kurau dan Senangin
Yan, Razi dan Bro Pojie menaikkan Jenahak, Senangin dan Duri

Selasa, 9 Jun 2015

MEMANCING DI RUMAH RAKIT: JENIS IKAN DAN UMPANNYA


Memancing di rumah rakit menyediakan suasana yang santai dan relaks, dengan kemudahan asas turut disediakan seperti bekalan air tawar, dapur dan peralatannya, tempat beristirehat dan solat. Lagipun bajet memancing di sini rendah.

Rumah rakit menjadi pilihan popular kepada PERANGSANG ANGLERS pada hujung minggu untuk berkumpul dan mengeratkan lagi persahabatan serta bertanya khabar. Sambil memancing kami dapat memasak dan BBQ hasil tangkapan.

Rumah rakit kebanyakannya terletak diantara muara sungai dan laut luas, ada yang memanggilnya sebagai ujung tanjung. Pada kali ini, kami ingin berkongsi pengalaman jenis-jenis ikan yang kami naikkan dan umpan-umpan yang sesuai digunakan di kawasan-kawasan ini. Diantara umpan yang biasa kami gunakan ialah pumpun, udang, sotong, anak ikan dan hirisan ikan.

Berikut adalah jenis umpan dan ikan yang gemar menyambarnya:

Pumpun
  • Gelama
  • Duri
  • Sembilang
  • Tebal Pipi
Udang Hidup/Mati
  • Kerapu
  • Siakap
  • Kurau
  • Tetanda
  • Senangin
Sotong Kurita dan Sotong Biasa
  • Jenahak
  • Senangin
  • Gelama
  • Senangin
Anak Ikan, Ikan Potong dan Hirisan Ikan
  • Kerapu
  • Siakap
  • Sembilang
  • Duri
  • Gegerut
  • Senangin
  • Ikan Merah
  • Kurau
Gambar-gambar di bawah adalah diantara hasil pengalaman kami menaikkan ikan menggunakan umpan-umpan seperti di atas:




Jumaat, 5 Jun 2015

MEMANCING: ADAKAH BAIK KEPADA ANAK-ANAK?


Beberapa orang peminat PERANGSANG ANGLERS telah mengemukakan pertanyaan kepada kami, apakah aktiviti memancing ini baik untuk anak-anak? Mereka melihat terdapat anak-anak yang turut serta di dalam beberapa aktiviti memancing PERANGSANG ANGLERS.

Kami berpendapat:

Memancing mendorong kepada perkara-perkara baik, seperti dapat mengurangkan tekanan (stress), menambah kenalan, mencari lauk dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Memancing juga boleh menjadi rekreasi keluarga yang menyeronokkan. Kanak-kanak sukakan suasana yang aktif dan mempunyai perasaan mahu dilibatkan. Anda boleh perkenalkan aktiviti memancing kepada mereka pada usia muda lagi. 

Ajarkan anak-anak anda kemahiran baharu yang akan berkekalan seumur hidup mereka. Sebagai permulaan anda boleh membawa mereka bersiar-siar di tasik atau di persisiran pantai melihat orang memancing dan menaikkan ikan. Ia boleh menimbulkan keseronokan dan perasaan ingin tahu mereka. Kemudian, rancang 'family outings' seperti berkelah di kelong dan resort tepian sungai atau tasik, dimana anda boleh melabuhkan pancing secara santai.

Tunjukkan kepada mereka cara memancing yang betul, terutamanya tentang keselamatan apabila berada di laut, sungai dan tasik. Pastikan mereka sentiasa ditemani orang dewasa bila berada di kawasan-kawasan tersebut, memakai life jacket dan cepat beredar bila berlaku guruh dan kilat. Ajarkan mereka cara-cara menggunakan mata kail dengan selamat, jenis-jenis umpan yang sesuai, cara-cara membuat perambut dan sebagainya.

Kesimpulannya, memancing akan mengajar mereka tentang kesabaran, mengawal perasaan, keselamatan dan menghargai alam semula jadi. Paling penting ilmu, teknik dan pengetahuan memancing ini akan berkekalan seumur hidup mereka.

Khamis, 4 Jun 2015

MEMANCING DI KELONG SANGKAR KUNING PULAU KETAM


Ide memancing di Kelong Sangkar Kuning, Pulau Ketam sudah lama tercatat di diari PERANGSANG ANGLERS, tetapi tertangguh beberapa kali kerana kesibukan urusan kerja. Namun pada 30 Mei 2015 baru-baru ini, seramai 7 orang ahli dapat diturunkan untuk menduga ikan-ikan di sana. Dikatakan Siakap banyak terdapat di kawasan ini.


Ekspedisi kami bermula di Jeti Awam Bagan Hailam, Port Klang, dan perjalanan menaiki bot laju yang dipanggil Taxi Boat mengambil masa hampir 40 minit untuk sampai ke kelong ini.

Hanya terdapat 2 kelong di sini dan 3 buah sangkar ternakan ikan. Joran mula dilabuh pada jam 5 petang. Ikan pertama yang berjaya dinaikkan ialah Tebal Pipi, dan diikuti dengan Bebolos, Gelama, Sembilang dan Duri.

Pada awal malamnya, agak sunyi, hanya Duri dan Sembilang bersaiz sederhana yang sudi meragut umpan. Namun selepas jam 1 pagi suasana di Kelong menjadi rancak, Bro Pojie berjaya menaikkan Gemang dan diikuti Razi dengan Senangin serta Ajak pula menaikkan Kurau seberat 2.85kg.

Pada keesokan harinya, Razi melalui teknik Apollonya berjaya menaikkan Daun Baru dan Sumpit. Nyok dan Ajak pula berjaya menaikkan Kerapu. Diakhir ekspedisi ini, Ajak diistiharkan sebagai pemenang Jackpot sebanyak RM150 sumbangan daripada Fauzi CSR.

Keseluruhannya, ekspedisi kali ini hmmm...kenduri Duri. Siakap yang diidamkan bak kata oghang Peghak 'tak mandang'. Namun ia tak mematahkan semangat kami, pada 13 dan 14 Jun ni, PERANGSANG ANGLERS akan menghantar kumpulan ke2 pula untuk mencuba nasib di Kelong Sangkar Kuning.