Khamis, 21 Mei 2015

MEMANCING DI SUNGAI JUDAH PULAU CAREY

Sungai Judah
Pada kali ini kami ingin berkongsi pengalaman memancing di Sg. Judah Pulau Carey, Selangor. Rancangan kami pada mulanya adalah untuk memancing di tengah-tengah laut sejauh 15 batu nautikal dari Jeti Pengkalan Nelayan Sg.Judah.

Seramai lapan ahli PERANGSANG ANGLERS berlepas dari Shah Alam ke Kampung Orang Asli Sg. Judah dan mengambil masa satu jam untuk sampai ke sana. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan yang diduduki oleh orang asli dari rumpun Mah Meri.

Jeti Pengkalan Nelayan Sg. Judah
Kedatangan kami di sambut oleh En. Bidin bin Loya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Orang Asli Kampong Sg. Judah dan Sdr. Intan a/l Kamit jurupandu kami. Mereka jugalah yang membekalkan umpan kepada kami.

Kami berpecah kepada dua kumpulan dan menyewa dua buah bot untuk ke kawasan pancing dengan harapan dapat menaikkan Jenahak, Kerapu dan lkan Merah. Sayangnya, laut bergelora dan ombak bergulung besar. Kami memutuskan untuk berpatah balik dan Sdr. Intan mencadangkan supaya kami menyusuri Sg. Judah dan memancing di lubuk-lubuk ikan disitu sebagai tempat alternatif.

Jurupandu Sdr. Intan a/l Kamit
Sg. Judah amat menarik. Suasananya yang tenang dengan pepohon bakau dan perepat yang menghijau sungguh mendamaikan. Di langitnya berterbangan burung Helang dan Undan berkeliaran mencari ikan. Ditambah pula dengan angin yang berhembus segar. Ah...begitu nyaman terasa sehingga hilang perasaan kekecewaan kami.

Alhamdulillah, kami berjaya menaikkan ikan Tanda, Malong, Gelama, Duri dan Senangin di sini. Hasil pancingan tidaklah banyak tetapi mencukupi untuk dibawa pulang.

Zam dan hasil pancingnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan