Jumaat, 5 Jun 2015

MEMANCING: ADAKAH BAIK KEPADA ANAK-ANAK?


Beberapa orang peminat PERANGSANG ANGLERS telah mengemukakan pertanyaan kepada kami, apakah aktiviti memancing ini baik untuk anak-anak? Mereka melihat terdapat anak-anak yang turut serta di dalam beberapa aktiviti memancing PERANGSANG ANGLERS.

Kami berpendapat:

Memancing mendorong kepada perkara-perkara baik, seperti dapat mengurangkan tekanan (stress), menambah kenalan, mencari lauk dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Memancing juga boleh menjadi rekreasi keluarga yang menyeronokkan. Kanak-kanak sukakan suasana yang aktif dan mempunyai perasaan mahu dilibatkan. Anda boleh perkenalkan aktiviti memancing kepada mereka pada usia muda lagi. 

Ajarkan anak-anak anda kemahiran baharu yang akan berkekalan seumur hidup mereka. Sebagai permulaan anda boleh membawa mereka bersiar-siar di tasik atau di persisiran pantai melihat orang memancing dan menaikkan ikan. Ia boleh menimbulkan keseronokan dan perasaan ingin tahu mereka. Kemudian, rancang 'family outings' seperti berkelah di kelong dan resort tepian sungai atau tasik, dimana anda boleh melabuhkan pancing secara santai.

Tunjukkan kepada mereka cara memancing yang betul, terutamanya tentang keselamatan apabila berada di laut, sungai dan tasik. Pastikan mereka sentiasa ditemani orang dewasa bila berada di kawasan-kawasan tersebut, memakai life jacket dan cepat beredar bila berlaku guruh dan kilat. Ajarkan mereka cara-cara menggunakan mata kail dengan selamat, jenis-jenis umpan yang sesuai, cara-cara membuat perambut dan sebagainya.

Kesimpulannya, memancing akan mengajar mereka tentang kesabaran, mengawal perasaan, keselamatan dan menghargai alam semula jadi. Paling penting ilmu, teknik dan pengetahuan memancing ini akan berkekalan seumur hidup mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan