Khamis, 21 Mei 2015

MEMANCING DI SUNGAI JUDAH PULAU CAREY

Sungai Judah
Pada kali ini kami ingin berkongsi pengalaman memancing di Sg. Judah Pulau Carey, Selangor. Rancangan kami pada mulanya adalah untuk memancing di tengah-tengah laut sejauh 15 batu nautikal dari Jeti Pengkalan Nelayan Sg.Judah.

Seramai lapan ahli PERANGSANG ANGLERS berlepas dari Shah Alam ke Kampung Orang Asli Sg. Judah dan mengambil masa satu jam untuk sampai ke sana. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan yang diduduki oleh orang asli dari rumpun Mah Meri.

Jeti Pengkalan Nelayan Sg. Judah
Kedatangan kami di sambut oleh En. Bidin bin Loya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Orang Asli Kampong Sg. Judah dan Sdr. Intan a/l Kamit jurupandu kami. Mereka jugalah yang membekalkan umpan kepada kami.

Kami berpecah kepada dua kumpulan dan menyewa dua buah bot untuk ke kawasan pancing dengan harapan dapat menaikkan Jenahak, Kerapu dan lkan Merah. Sayangnya, laut bergelora dan ombak bergulung besar. Kami memutuskan untuk berpatah balik dan Sdr. Intan mencadangkan supaya kami menyusuri Sg. Judah dan memancing di lubuk-lubuk ikan disitu sebagai tempat alternatif.

Jurupandu Sdr. Intan a/l Kamit
Sg. Judah amat menarik. Suasananya yang tenang dengan pepohon bakau dan perepat yang menghijau sungguh mendamaikan. Di langitnya berterbangan burung Helang dan Undan berkeliaran mencari ikan. Ditambah pula dengan angin yang berhembus segar. Ah...begitu nyaman terasa sehingga hilang perasaan kekecewaan kami.

Alhamdulillah, kami berjaya menaikkan ikan Tanda, Malong, Gelama, Duri dan Senangin di sini. Hasil pancingan tidaklah banyak tetapi mencukupi untuk dibawa pulang.

Zam dan hasil pancingnya

Isnin, 18 Mei 2015

MEMANCING DI TASIK KENYIR

Tasik Kenyir
Keindahanmu sejauh mata memandang
Pesonamu tak pernah kurang
Kedamaian ada di sini

Kata-kata itulah yang sentiasa menggamit PERANGSANG ANGLERS untuk ke Tasik Kenyir setiap tahun. Istimewanya memancing di sini ialah ahli-ahli keluarga akan turut serta untuk bersama-sama menikmati keindahan alam semulajadi sambil melakukan hobi kami memancing.

Tasik ini mempunyai pemandangan lanskap yang indah dan tempat yang baik untuk merehatkan diri dari kesibukan hidup di kota. Kehijauan hutan yang mengelilingi kawasan tasik mewujudkan pemandangan yang menenangkan.

Tasik Kenyir terletak di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Perjalanan dari Shah Alam mengambil masa 7 jam melalui Lebuhraya Karak ke Lebuhraya Jerengau-Jabor dan terus ke Kuala Berang.
.
Kami menggunakan Pengkalan Gawi bagi memulakan ekspedisi ke lubuk pemancing seperti di Sg.Chaching dan Sg. Terenggan, biasanya mengambil masa 4-5 jam perjalanan. Kami menggunakan houseboat kerana dirasakan lebih adventure berbanding menginap di resort.


Kadar sewa bagi sesebuah rumah bergantung kepada saiz dan kemudahan di dalamnya. Secara purata diantara RM350-RM380 satu kepala atau harga pakej diantara RM2000-RM2,600 untuk 3 hari/2 malam. Rumah bot ini dilengkapi dengan dapor dan kelengkapan memasak, tandas, TV, pangkin dan selesa untuk seramai 20 orang.

Kumpulan kami akan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil, samada untuk memancing di atas rumah bot atau menyusuri dan berkhemah ke hulu sungai untuk memburu Kelah.

Hasil pancing memang berbaloi banyak seperti Lampam, Kelah, Toman, Belida, Tilan, Pepatung danTemperas. Berikut dilampirkan  antara gambar-gambar aktiviti kami di Tasik Kenyir:

Wajah keseronokan berada di Tasik Kenyir
Houseboat yang kami sewa
Atan dan Kristy dengan hasil pancingan mereka
Jeff dan Toman, hasil hari ke2
Siti dan Belida juga hasil pancing hari ke2
Hasan dan Pepatung hasil pancing di Sg.Chaching
Heheh...Pojie tumpang bergambar
Fauzi dan Lampam
KRoll dan Temperas
President's Wife memasak hasil tangkapan
Zurai (kanan) dan Siti (kiri)

Ahad, 17 Mei 2015

MEMANCING DI RUMAH RAKIT JAI

Siang tadi, empat orang ahli PERANGSANG ANGLERS turun sekali lagi ke Kampong Nelayan Telok Gong untuk memancing. Kata mereka ianya sebagai aktiviti memanaskan badan sebelum menduga laut Pulau Ketam pada hujung bulan Mei ni. 

Kali ini mereka memilih Rumah Rakit Jai pula, dan menggunakan khidmat penjaga kelong bernama Jais.
Ini rupa Rumah Rakit Jai
Tekong Jais
Walaupun cuaca mendung dan hujan lebat petang tadi, tetapi pancing mereka tetap dihenjut ikan seperti Gelama Kuning, Duri, Sembilang dan Bagok. Alhamdulillah, hasil pancing lumayan kata mereka. Sila lihat hasil tangkapan mereka itu:


Jumaat, 15 Mei 2015

MEMANCING DI PULAU ANGSA


Pada tahun ini sudah tiga kali PERANGSANG ANGLERS memancing di Pulau Angsa, Kuala Selangor. Tarikan kami ke sana kerana lokasinya yang dekat dengan Shah Alam, cuma mengambil masa satu jam melalui Klang untuk sampai ke Pengkalan Sg. Buloh di Kuala Selangor.

Satu perkara lagi, kami tak perlu merancang rapi aktiviti pancing ke sana kerana kami suka pergi pagi balik petang. Walaubagaimanapun, tempahan bot dan umpan perlu dilakukan awal terutamanya pada masa air mati kerana kaki pancing akan ramai pada waktu itu.

Setiap kali kami memancing di sini, kami menggunakan perkhidmatan Tekong bernama Ah Fatt. Beliau seorang Tekong yang baik, peramah dan suka membantu pelanggannya. Menaiki bot beliau ke Pulau Angsa mengambil masa 30 minit dari Pengkalan Sg. Buloh.

Sasaran tangkapan di sini tentulah ikan Gelama Papan, Tiga Gigi, Duri dan Bagok. Agak sukar untuk mendapatkan spesis ikan karang seperti Jenahak dan Kerapu. Menurut kata penduduk kampong di sini kerana pesisiran lautnya bukan jenis laut berkarang. Namun, pernah juga Jenahak kami naikkan menggunakan umpang Sotong Kurita hidup.

Memancing di Pulau Angsa, adakalanya kurang menyenangkan kerana terdapat aktiviti memukat dan menjaring oleh nelayan tempatan yang boleh menggangu para pemancing. Mungkin, pihak berkuasa tempatan dapat berbuat sesuatu mengenainya. Jadikan Pulau Angsa sebagai tarikan ramai para pemancing dan pelancong seperti suatu ketika dahulu.

Hasil tangkapan kami di Pulau Angsa seperti foto kami lampirkan di bawah:
Bergambar sebelum ke Pulau Angsa
Fauzi dan 3 Giginya

Man dan 3 Giginya
Bro Pojie dan Gelamanya
Fauzi dan Bagoknya

Khamis, 14 Mei 2015

MEMANCING DI PULAU SEMBILAN


Berdoa sebelum menduga laut Pangkor
Diantara destinasi pancing kegemaran PERANGSANG ANGLERS ialah Pulau Sembilan, Perak. Ia seperti lokasi yang harus dikunjungi setiap tahun.

Bagi kami ia adalah kepulauan tercantik di negara kita kerana keindahan semula jadinya, pantai yang bersih, air yang jernih, karang yang berwarna warni dan terdapat bekalan air tawar di salah satu pulaunya iaitu di Pulau Lalang. Lagipun, ia masih tidak tercemar kerana pulau-pulau ini tidak berpenghuni.

Pulau Sembilan terletak sejauh 15 batu nautika atau 25KM dari Pulau Pangkor. Ia terdiri dari gugusan 9 pulau-pulau kecil seperti Pulau Agas, Pulau Payang, Pulau Lalang, White Rock, Pulau Rumbia dll.

Pulau ini amat terkenal dikalangan kaki pancing, malah dipanggil sebagai 'De Anglers Paradise' kerana kaya dengan pelbagai spises laut. Di sini kita boleh memancing dengan menggunakan berbagai cara seperti Bottom, Jigging, Apollo, Casting, Popping and Trolling.

Mengikut pengalaman kami kaedah casting menggunakan lures dapat menarik ikan Baracuda dan Queen Fish. Apollo menggunakan ikan bilis boleh menaikkan ikan Hard Tail Scad. Manakala kaedah menggunakan jig flasher dapat menaikkan Goupers dan Long Tail Trevally.

Untuk ke Pulau Sembilan anda boleh menyewa bot dan bermula samada dari Kampung Permatang Pasir Panjang Laut, Kampong Deralik Sitiawan, Kampong Baru Lumut atau dari Telok Muroh. Pakej di tawarkan mengikut pilihan anda samada 2 hari/1 malam, 3 hari/2 malam dan sebagainya pada kadar RM1,500 sehingga RM2,600 mengikut jenis pakej. Kami biasanya bermula dari Teluk Muroh kerana dapat bershopping di Bandar Lumut sebelum pulang ke Shah Alam.

Diantara hasil pancing yang kami perolehi seperti foto-foto di bawah:

Razi dan tangkapan Alu-Alu

Ajak dan tangkapan Jenahak

Ezad dan tangkapan Cencaru
Mail dan tangkapan Talang dan Alu-Alu
Razi dan tangkapan Tanda
Nyok dan tangkapan Talang
Ajak dan tangkapan Kerapu

Rabu, 13 Mei 2015

MEMANCING DI KAMPONG NELAYAN TELOK GONG

Entry pertama kami, adalah berkongsi pengalaman memancing di Kampong Nelayan Telok Gong, sebuah perkampungan nelayan yang berdekatan dengan Bandar Klang dan Pelabohan Klang di Selangor, serta berhampiran pula dengan muara Sungai Klang dan Selat Melaka.

Untuk ke sana dari Kuala Lumpur, anda boleh gunakan Lebuhraya Shah Alam menuju ke Lebuhraya Pulau Indah. Kemudiannya belok kiri ke Jalan Telok Gong dan pusing kanan ke Lebuh Kg. Nelayan untuk sampai ke Jeti.

Di sini terdapat banyak rumah rakit, dipanggil kelong oleh penduduk tempatan. Setiap kelong disediakan dapor dan peralatan memasak, air bersih, generator serta tandas. Manakala harga sewaan pun murah sebanyak RM350 untuk sehari semalam atau pakej harian RM35 seorang.

Memandangkan tempat ini popular dikalangan kaki pancing dan mereka yang membawa keluarga untuk bersantai sambil memancing, anda perlu membuat tempahan awal daripada para pemilik atau operator Kelong.

Di sini anda berpeluang untuk menaikkan berbagai jenis ikan seperti Senangin, Gelama, Tebal Pipi, Duri dan Sembilang. Kalau anda bernasib baik anda mungkin dapat menaikkan Tanda dan Pari. Umpan yang boleh anda gunakan di sini ialah Pumpun, Udang hidup dan Sotong. 

Pada Ahad 10 Mei 2015 yang lalu, Team kami telah ke sana untuk beristirehat sambil memancing. Kami bermula pada jam 11 pagi hingga 7 petang. Memang telah menjadi rutin kami ke sana bila ada kelapangan pada hujung minggu atau bila tiada program pancing ke lain tempat. Motto kami ialah 'we travel where the fish are'

Hasil tangkapan lumayan. Diantara ikan-ikan yang berjaya kami naikkan seperti anda boleh lihat di foto-foto di bawah:

Ajak menaikkan Ikan Duri
Kodiang menaikkan Ikan Sembilang
Pak Tam menaikkan Ikan Duri
Atukcun menaikkan Senangin

Selasa, 12 Mei 2015

SEKAPUR SIRIH


Kembang mekar di taman
Hiasan sanggul nak dara sunti
Salam perkenalan kami ucapkan
Buat pengunjung blog ini

PERANGSANG ANGLERS terlahir daripada unifikasi ide para peminat pancing yang bekerja dan berurusan di Bangunan Plaza Perangsang, Shah Alam, Selangor. Tujuannya, supaya unifikasi aktiviti memancing menjadi lebih meriah dan jalinan silaturrahim bertambah akrab.

Setelah beberapa ketika melakukan hobi ini, kami bersefakat untuk mewujudkan Blog ini, sekadar berkongsi pengalaman kami bersama para peminat pancing di luar sana. Mungkin berguna dan bermanfaat kepada rakan-rakan sekelian. Disamping itu kami juga ingin menimba ilmu bersama anda yang lebih pakar dan berpengetahuan.

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kami ingin terus belajar
Tips yang baik elok kongsikan