Isnin, 15 Jun 2015

MEMANCING DALAM BULAN RAMADAN


Selamat menyambut bulan Ramadan 1436H kepada rakan dan pengunjung laman PERANGSANG ANGLERS.

Bila datangnya Ramadan, tentunya kita dapat melihat ramai yang terfikir untuk menghentikan sementara aktiviti memancing dan memperbanyakkan lagi ibadah serta kewajiban lain. Kita tentunya juga dapat melihat masih ramai pemancing yang memancing baik di sungai, laut, sawah mahupun di kolam pancing dalam bulan ini.

Apatidaknya, para nelayan yang sememangnya akan terus menjalankan mata pencarian mereka untuk menafkahi keluarga, para enthusiast tidak akan surut dari memenuhi hobi dan minat mereka. Begitu juga dengan golongan yang ingin mengisi kekosongan jadual mereka dengan memancing sambil menunggu waktu berbuka puasa.
Gambar Hiasan
'Banyak lagi hari untuk kita memancing, pada bulan Ramadan ini eloklah aktiviti itu dihentikan sementara waktu' kata seorang rakan semasa kami minum di sebuah warong kopi di Ijok 'Jangan pernah berfikir untuk menghentikan aktiviti ini' jampok seorang lagi rakan.

Jika anda berhasrat untuk terus melakukan aktiviti memancing dalam bulan Ramadan ini, mungkin panduan ini bermanfaat untuk anda:
  • Aktiviti memancing harus disesuaikan jadual dan masanya agar puasa anda tetap terjaga. Ia penting kerana maklum sajalah perut kosong, tekak kering dan tahap energi pun terbatas.
  • Kurangkan masa memancing ke waktu yang pendek. Misalnya, jika biasanya anda memancing 12 jam sehari, anda boleh kurangkan kepada 4 jam sahaja.
  • Pilih tempat yang rileks dalam suasana ringan seperti memancing di kolam pancing, anak sungai atau di rumah rakit, kerana tempat-tempat ini mempunyai tempat berteduh dan beristirehat. Anda boleh memancing untuk selama 2-3 jam sambil menunggu beduk berbuka puasa.
  • Jangan paksa diri dan bersikap jujurlah kepada diri anda sendiri.
Kesimpulannya, jika anda berhasrat untuk memenuhi hobi memancing di bulan puasa ni, perhatikan waktu yang sesuai, jangan lupa kewajiban kepada keluarga, lebih-lebih lagi kewajian beribadah. Rebutlah peluang rahmat dan keberkatan Ramadan. Insyallah.

Sabtu, 13 Jun 2015

MEMANCING DI WAKTU MALAM: APA YANG MENARIKNYA?


'Memancing malam ni lebih menenangkan' kata seorang teman PERANGSANG ANGLERS 'malah lebih menjanjikan hasil' sambungnya. Terinspirasi dengan kata-kata itulah maka beberapa ahli kami menjadikan memancing malam sebagai satu daripada aktiviti PERANGSANG ANGLERS.

Memancing diwaktu malam mendamaikan, kerana selain suasananya yang tenang dan sunyi, kita terlindung dari rasa panas dan terik matahari. Cuma ia memerlukan penumpuan yang lebih, keberanian dan persediaan mental, maklum sajalah suasana malam yang gelap. Disamping memerlukan peralatan tambahan yang sesuai seperti 'bugs spray, glow sticks, LED headlamp dan jacket'


Pada kali ini, kami ingin berkongsi pengalaman kami memancing malam di kuala selat. Sebenarnya, memancing di kawasan ini tidaklah terikat dengan waktu, kerana spesies ikan yang banyak dan pola makan yang berbeza. Ada yang mencari makan di siang hari dan ada pula yang aktif mencari makan di malam hari. 

Ikan yang aktif mencari makan di malam hari dipanggil sebagai 'nocturnal' iaitu ikan-ikan dari jenis snappers dan groupers 'seperti Ikan Kakap Merah, Jenahak, Timun, Kerapu, Kurau dan GT.

Manakala, umpan yang paling baik digunakan ialah umpan yang berbau hamis dan bercahaya seperti Ikan Tamban, Selangat, Cumi-Cumi dan Udang. Sebagai contoh, cumi-cumi memiliki bau hamis dan sedikit bercahaya kehijauan bila berada di dalam air dan udang hanya bahagian matanya sahaja yang bercahaya.

Sebenarnya, ikan dapat melihat di malam hari atau di dalam kegelapan. Penggunaan umpan bercahaya bukan bertujuan agar umpan dapat di lihat pada malam hari, tetapi melainkan sebagai penarik perhatian ikan terhadap umpan bila kedudukan ikan yang jauh daripada kedudukan umpan.

Kami sekadar berkongsi serba sedikit pengalaman, mungkin berguna kepada pembaca.
Ajak dan Nyok menaikkan Kurau dan Senangin
Yan, Razi dan Bro Pojie menaikkan Jenahak, Senangin dan Duri

Selasa, 9 Jun 2015

MEMANCING DI RUMAH RAKIT: JENIS IKAN DAN UMPANNYA


Memancing di rumah rakit menyediakan suasana yang santai dan relaks, dengan kemudahan asas turut disediakan seperti bekalan air tawar, dapur dan peralatannya, tempat beristirehat dan solat. Lagipun bajet memancing di sini rendah.

Rumah rakit menjadi pilihan popular kepada PERANGSANG ANGLERS pada hujung minggu untuk berkumpul dan mengeratkan lagi persahabatan serta bertanya khabar. Sambil memancing kami dapat memasak dan BBQ hasil tangkapan.

Rumah rakit kebanyakannya terletak diantara muara sungai dan laut luas, ada yang memanggilnya sebagai ujung tanjung. Pada kali ini, kami ingin berkongsi pengalaman jenis-jenis ikan yang kami naikkan dan umpan-umpan yang sesuai digunakan di kawasan-kawasan ini. Diantara umpan yang biasa kami gunakan ialah pumpun, udang, sotong, anak ikan dan hirisan ikan.

Berikut adalah jenis umpan dan ikan yang gemar menyambarnya:

Pumpun
  • Gelama
  • Duri
  • Sembilang
  • Tebal Pipi
Udang Hidup/Mati
  • Kerapu
  • Siakap
  • Kurau
  • Tetanda
  • Senangin
Sotong Kurita dan Sotong Biasa
  • Jenahak
  • Senangin
  • Gelama
  • Senangin
Anak Ikan, Ikan Potong dan Hirisan Ikan
  • Kerapu
  • Siakap
  • Sembilang
  • Duri
  • Gegerut
  • Senangin
  • Ikan Merah
  • Kurau
Gambar-gambar di bawah adalah diantara hasil pengalaman kami menaikkan ikan menggunakan umpan-umpan seperti di atas:




Jumaat, 5 Jun 2015

MEMANCING: ADAKAH BAIK KEPADA ANAK-ANAK?


Beberapa orang peminat PERANGSANG ANGLERS telah mengemukakan pertanyaan kepada kami, apakah aktiviti memancing ini baik untuk anak-anak? Mereka melihat terdapat anak-anak yang turut serta di dalam beberapa aktiviti memancing PERANGSANG ANGLERS.

Kami berpendapat:

Memancing mendorong kepada perkara-perkara baik, seperti dapat mengurangkan tekanan (stress), menambah kenalan, mencari lauk dan menikmati keindahan alam semula jadi.

Memancing juga boleh menjadi rekreasi keluarga yang menyeronokkan. Kanak-kanak sukakan suasana yang aktif dan mempunyai perasaan mahu dilibatkan. Anda boleh perkenalkan aktiviti memancing kepada mereka pada usia muda lagi. 

Ajarkan anak-anak anda kemahiran baharu yang akan berkekalan seumur hidup mereka. Sebagai permulaan anda boleh membawa mereka bersiar-siar di tasik atau di persisiran pantai melihat orang memancing dan menaikkan ikan. Ia boleh menimbulkan keseronokan dan perasaan ingin tahu mereka. Kemudian, rancang 'family outings' seperti berkelah di kelong dan resort tepian sungai atau tasik, dimana anda boleh melabuhkan pancing secara santai.

Tunjukkan kepada mereka cara memancing yang betul, terutamanya tentang keselamatan apabila berada di laut, sungai dan tasik. Pastikan mereka sentiasa ditemani orang dewasa bila berada di kawasan-kawasan tersebut, memakai life jacket dan cepat beredar bila berlaku guruh dan kilat. Ajarkan mereka cara-cara menggunakan mata kail dengan selamat, jenis-jenis umpan yang sesuai, cara-cara membuat perambut dan sebagainya.

Kesimpulannya, memancing akan mengajar mereka tentang kesabaran, mengawal perasaan, keselamatan dan menghargai alam semula jadi. Paling penting ilmu, teknik dan pengetahuan memancing ini akan berkekalan seumur hidup mereka.

Khamis, 4 Jun 2015

MEMANCING DI KELONG SANGKAR KUNING PULAU KETAM


Ide memancing di Kelong Sangkar Kuning, Pulau Ketam sudah lama tercatat di diari PERANGSANG ANGLERS, tetapi tertangguh beberapa kali kerana kesibukan urusan kerja. Namun pada 30 Mei 2015 baru-baru ini, seramai 7 orang ahli dapat diturunkan untuk menduga ikan-ikan di sana. Dikatakan Siakap banyak terdapat di kawasan ini.


Ekspedisi kami bermula di Jeti Awam Bagan Hailam, Port Klang, dan perjalanan menaiki bot laju yang dipanggil Taxi Boat mengambil masa hampir 40 minit untuk sampai ke kelong ini.

Hanya terdapat 2 kelong di sini dan 3 buah sangkar ternakan ikan. Joran mula dilabuh pada jam 5 petang. Ikan pertama yang berjaya dinaikkan ialah Tebal Pipi, dan diikuti dengan Bebolos, Gelama, Sembilang dan Duri.

Pada awal malamnya, agak sunyi, hanya Duri dan Sembilang bersaiz sederhana yang sudi meragut umpan. Namun selepas jam 1 pagi suasana di Kelong menjadi rancak, Bro Pojie berjaya menaikkan Gemang dan diikuti Razi dengan Senangin serta Ajak pula menaikkan Kurau seberat 2.85kg.

Pada keesokan harinya, Razi melalui teknik Apollonya berjaya menaikkan Daun Baru dan Sumpit. Nyok dan Ajak pula berjaya menaikkan Kerapu. Diakhir ekspedisi ini, Ajak diistiharkan sebagai pemenang Jackpot sebanyak RM150 sumbangan daripada Fauzi CSR.

Keseluruhannya, ekspedisi kali ini hmmm...kenduri Duri. Siakap yang diidamkan bak kata oghang Peghak 'tak mandang'. Namun ia tak mematahkan semangat kami, pada 13 dan 14 Jun ni, PERANGSANG ANGLERS akan menghantar kumpulan ke2 pula untuk mencuba nasib di Kelong Sangkar Kuning.




Khamis, 21 Mei 2015

MEMANCING DI SUNGAI JUDAH PULAU CAREY

Sungai Judah
Pada kali ini kami ingin berkongsi pengalaman memancing di Sg. Judah Pulau Carey, Selangor. Rancangan kami pada mulanya adalah untuk memancing di tengah-tengah laut sejauh 15 batu nautikal dari Jeti Pengkalan Nelayan Sg.Judah.

Seramai lapan ahli PERANGSANG ANGLERS berlepas dari Shah Alam ke Kampung Orang Asli Sg. Judah dan mengambil masa satu jam untuk sampai ke sana. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan yang diduduki oleh orang asli dari rumpun Mah Meri.

Jeti Pengkalan Nelayan Sg. Judah
Kedatangan kami di sambut oleh En. Bidin bin Loya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Orang Asli Kampong Sg. Judah dan Sdr. Intan a/l Kamit jurupandu kami. Mereka jugalah yang membekalkan umpan kepada kami.

Kami berpecah kepada dua kumpulan dan menyewa dua buah bot untuk ke kawasan pancing dengan harapan dapat menaikkan Jenahak, Kerapu dan lkan Merah. Sayangnya, laut bergelora dan ombak bergulung besar. Kami memutuskan untuk berpatah balik dan Sdr. Intan mencadangkan supaya kami menyusuri Sg. Judah dan memancing di lubuk-lubuk ikan disitu sebagai tempat alternatif.

Jurupandu Sdr. Intan a/l Kamit
Sg. Judah amat menarik. Suasananya yang tenang dengan pepohon bakau dan perepat yang menghijau sungguh mendamaikan. Di langitnya berterbangan burung Helang dan Undan berkeliaran mencari ikan. Ditambah pula dengan angin yang berhembus segar. Ah...begitu nyaman terasa sehingga hilang perasaan kekecewaan kami.

Alhamdulillah, kami berjaya menaikkan ikan Tanda, Malong, Gelama, Duri dan Senangin di sini. Hasil pancingan tidaklah banyak tetapi mencukupi untuk dibawa pulang.

Zam dan hasil pancingnya

Isnin, 18 Mei 2015

MEMANCING DI TASIK KENYIR

Tasik Kenyir
Keindahanmu sejauh mata memandang
Pesonamu tak pernah kurang
Kedamaian ada di sini

Kata-kata itulah yang sentiasa menggamit PERANGSANG ANGLERS untuk ke Tasik Kenyir setiap tahun. Istimewanya memancing di sini ialah ahli-ahli keluarga akan turut serta untuk bersama-sama menikmati keindahan alam semulajadi sambil melakukan hobi kami memancing.

Tasik ini mempunyai pemandangan lanskap yang indah dan tempat yang baik untuk merehatkan diri dari kesibukan hidup di kota. Kehijauan hutan yang mengelilingi kawasan tasik mewujudkan pemandangan yang menenangkan.

Tasik Kenyir terletak di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Perjalanan dari Shah Alam mengambil masa 7 jam melalui Lebuhraya Karak ke Lebuhraya Jerengau-Jabor dan terus ke Kuala Berang.
.
Kami menggunakan Pengkalan Gawi bagi memulakan ekspedisi ke lubuk pemancing seperti di Sg.Chaching dan Sg. Terenggan, biasanya mengambil masa 4-5 jam perjalanan. Kami menggunakan houseboat kerana dirasakan lebih adventure berbanding menginap di resort.


Kadar sewa bagi sesebuah rumah bergantung kepada saiz dan kemudahan di dalamnya. Secara purata diantara RM350-RM380 satu kepala atau harga pakej diantara RM2000-RM2,600 untuk 3 hari/2 malam. Rumah bot ini dilengkapi dengan dapor dan kelengkapan memasak, tandas, TV, pangkin dan selesa untuk seramai 20 orang.

Kumpulan kami akan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil, samada untuk memancing di atas rumah bot atau menyusuri dan berkhemah ke hulu sungai untuk memburu Kelah.

Hasil pancing memang berbaloi banyak seperti Lampam, Kelah, Toman, Belida, Tilan, Pepatung danTemperas. Berikut dilampirkan  antara gambar-gambar aktiviti kami di Tasik Kenyir:

Wajah keseronokan berada di Tasik Kenyir
Houseboat yang kami sewa
Atan dan Kristy dengan hasil pancingan mereka
Jeff dan Toman, hasil hari ke2
Siti dan Belida juga hasil pancing hari ke2
Hasan dan Pepatung hasil pancing di Sg.Chaching
Heheh...Pojie tumpang bergambar
Fauzi dan Lampam
KRoll dan Temperas
President's Wife memasak hasil tangkapan
Zurai (kanan) dan Siti (kiri)